2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

WUJUD SIKAP PREJUDIS TERHADAP PENDUDUK ISLAM SRI LANKA?

Oleh Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor

TELOK MAS, 26 April – Serantau Muslim (SM) merasakan layanan terhadap masyarakat Islam di Sri Lanka menjadi negatif berikutan kejadian serangan sebelum ini. Banyak laporan menyatakan masyarakat Islam di sana takut untuk berada di rumah sendiri dan sebagainya.

SM melihat seolah-olah berlaku satu perancangan halus daripada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan Islamofibia dalam kalangan warga Sri Lanka terhadap umat Islam dan apabila wujudnya militan Daesh yang mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian pengebomam kejam ini, ia sekali gus telah menguatkan teori bahawa serangan yang berlaku ini seolah-olah ditaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama di Sri Lanka.

Keadaan ini kerana SM difahamkan muslim minoriti di Sri Lanka terpaksa melarikan diri ke luar bandar atau ke tempat yang lebih selamat berikutan sikap prejudis dan serangan membuta tuli penganut agama lain terhadap mereka.

SM turut difahamkan kejadian serangan pengebomam yang berlaku beberapa hari lalu di Sri Lanka telah membawa kepada kematian seramai 253 orang.

Susulan kejadian itu, ratusan penduduk Islam yang sebahagian besarnya berketurunan Pakistan di bandar pelabuhan di utara Colombo itu terpaksa menaiki bas yang disediakan pemimpin tempatan dengan kawalan polis untuk dibawa ke tempat rahsia bagi keselamatan mereka.

SM melihat perkara ini perlu ditangani sewajarnya kerana terdapat penyerang turut bertindak menyerang rumah penduduk Islam walaupun siasatan oleh pihak berkuasa belum mengesahkan dengan jelas siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan bom di dua tempat berbeza seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam pada itu, SM menyeru masyarakat bukan Islam tidak mendengar khabar angin yang menyatakan serangan terhadap empat hotel dan tiga gereja itu dilakukan dua pertubuhan Islam Sri Lanka. Hal ini kerana desas-desus sebegitu menyebabkan penduduk tempatan yang majoritinya etnik Sinhala beragama Buddha memandang serong kepada penduduk minoriti Islam.

Justeru itu, SM mewakili suara seluruh umat Islam mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang berlaku di Sri Lanka dan menegaskan bahawa ini bukanlah sebahagian daripada ajaran Islam dan umat Islam seluruh dunia bersoladiriti melahirkan rasa simpati terhadap mangsa kejadian yang terbabit. SM juga mengharapkan pihak berkuasa Sri Lanka dapat memberikan hukuman yang paling keras terhadap mereka yang bertanggungjawab kepada pengomboman ini yang bukan sahaja membunuh nyawa mereka yang tidak bersalah bahkan menimbulkan imej yang buruk kepada orang-orang Islam.

 

*Penulis ialah Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim

26 April 2019