2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

SERANTAU MUSLIM CIPTA SEJARAH SANTUNI 40,000 ORANG ASNAF UNTUK BERBUKA PUASA DI 15 BUAH NEGARA

KUALA LUMPUR, 3 MEI – Badan Bukan Kerajaan (NGO) SERANTAU MUSLIM telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menyalurkan sumbangan untuk lebih 40,000 orang asnaf fakir miskin di 15 buah negara sempena Ramadhan tahun 2019.

Program yang dinamakan tajaberbuka.com sehingga setakat ini telah berjaya menghantar sebanyak 5000 bakul makanan dan 10,000 iftar pek berbuka yang akan di manfaatkan oleh lebih 40,000 orang di lokasi terlibat. Walaubagaimanapun, jumlah ini hanyalah separuh daripada sasaran awal SERANTAU MUSLIM yang mahu menyantuni seramai 80,000 orang asnaf.

Perkampungan Tay Ninh, Vietnam telah dipilih menjadi lokasi pertama penyaluran bantuan tajaberbuka.com atas faktor jumlah umat islam yang sangat minoriti iaitu hanya 60,000 orang sahaja berbanding 96 juta rakyat Vietnam. Lokasi lain yang terpilih juga merupakan lokasi yang sangat signifikan dan sangat memerlukan bantuan seperti di Syria, Palestin, Arakan Myanmar, Palu, Lombok dan negara negara muslim minority yang lain.

Misi yang bermula pada 3 Mei itu telah disertai 3 orang anggota Serantau Muslim yang diketuai oleh Pengurus Besar Serantau Muslim sendiri iaitu Ustaz Hakim Mohd Nor.

Menurut beliau, misi tajaberbuka.com ini adalah satu inisiatif yang melambangkan perpaduan ummah dengan slogan persaudaraan merentasi sempadan. Platform yang digunakan oleh Serantau Muslim iaitu tajaberbuka.com telah mendapat sambutan luar jangka apabila separuh daripada sasaran awal telah tercapai walaupun belum bermula bulan Ramadhan.

“Serantau Muslim menjangkakan sasaran sebanyak RM 1.2 Juta akan dapat dicapai sebaik sahaja Ramadhan bermula dimana umat Islam akan lebih mudah untuk bersedekah kerana mengejar ganjaran dan kelebihan bersedekah di bulan Ramadhan. Kami membuka peluang orang ramai sehingga seminggu terakhir Ramadhan untuk menyumbang melalui platform tajaberbuka.com ini”.

Beliau juga turut menyeru orang ramai yang ingin untuk turut serta mendapat ganjaran pahala orang yang berpuasa dengan cara menaja individu tersebut berbuka puasa dengan membuat tajaan melalui platform tajaberbuka.com.

Untuk rekod, Serantau Muslim telah pun mengajurkan program tajaberbuka.com sejak tahun 2015 dan ini adalah tahun keempat program ini dilaksanakan. Setakat ini, dianggarkan 25,000 orang penyumbang telah pun menyumbang melalui platform tajaberbuka.com ini.