2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 24 Julai 2018

Kenyataan Media SERANTAU MUSLIM
24 Julai 2018 |
Myanmar Diseru Mudahkan Urusan Membawa Pulang Etnik Rohingya

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melihat isu pelarian Rohingya tidak akan selesai jika kedua-dua pihak tidak mahu menunjukkan kerjasama antara satu lain di samping mengenepikan jurang perkauman dan agama. Jika diamati, kerajaan Myanmar begitu sukar untuk memberikan layanan yang baik terhadap etnik Rohingya sejak dahulu lagi. Oleh sebab itulah, sehingga saat ini, etnik Rohingya masih tidak berani pulang ke negara asal mereka dan sanggup menjadi pelarian di negara lain. Persoalan demi persoalan tentang keberadaan etnik Rohingya tidak akan lenyap dibibir komuniti dunia selagi mana ia tidak diselesaikan secara bermaruah.

Memetik laporan media 24 Julai, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) telah menggesa Myanmar supaya meningkatkan usaha untuk membolehkan pelarian Rohingya kembali ke negara itu dengan selamat dan secara sukarela serta menyeru lebih banyak bantuan pembangunan sosial dan ekonomi agar proses penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Rakhine, Myanmar dapat dimudahkan.

SERANTAU MUSLIM menyokong kenyataan anggota UNSC tersebut dan berharap seruan tersebut didengari oleh semua pihak. Diharap seruan UNSC terus disertai dengan tindakan sewajarnya untuk memberi bantuan kepada etnik Rohingya agar etnik itu dapat meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik apabila kembali di tanah air mereka.

SERANTAU MUSLIM juga ingin menyeru kerajaan Myanmar agar tidak membiarkan ketegangan terus berlaku di antara penganut beragama Buddha dan minoroti Islam di Mynmar kerana hal ini tidak langsung, akan melambatkan proses membawa pulang etnik Rohingya secara sukarela ke negara tersebut.

Myanmar seharusnya memulakan langkah pertama untuk berlaku adil kepada semua etnik yang berada dibawah pemerintahannya agar negara kembali aman dan damai. Jika perlu, Myanmar perlu memandang secara optimis terhadap pentadbiran kerajaan Malaysia yang mampu mentadbir negara walaupun divariasikan dengan pelbagai agama dan kaum.

Dengan semangat “Persaudaraan Rentas Sempadan”, SERANTAU MUSLIM sentiasa membuka ruang dan peluang untuk orang ramai yang ingin membantu etnik Rohingya melalui www.untukmurohingya.com. Sesungguhnya mereka masih memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan sukar mereka di sana.

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM