2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

Kenyataan Media 21 Disember 2018

TINDAKAN MYANMAR LANCAR OPERASI PEMBERSIHAN ETNIK TERBARU TIDAK WAJAR SAMA SEKALI: SERANTAU MUSLIM

SERANTAU MUSLIM melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tentera Myanmar kerana mengadakan operasi pembersihan etnik terbaru terhadap muslim minoriti Rohingya yang berada di Myanmar.

SERANTAU MUSLIM juga merasakan operasi tersebut tidak wajar dijalankan kerana belum ada bukti yang kukuh mengatakan muslim minoriti Rohingya terlibat dalam insiden serangan dan pembunuhan ke atas penganut agama Buddha di negeri Rakhine tersebut.

SERANTAU MUSLIM difahamkan kejadian itu berlaku di Sungai Pyu Mai, Maungdaw pada petang 17 Disember lalu. Kawasan tersebut juga dikatakan kawasan yang sama tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap etnik Rohingya. Menurut Ketua Komander Ming Aung Hlaing, operasi tersebut diperluaskan kerana empat penganut Buddha telah diserang dan dua orang lagi dibunuh serta menyifatkan kejadian tersebut ada kena-mengena dengan etnik Islam Rohingya.

SERANTAU MUSLIM mengecam operasi pembersihan itu jika ia diteruskan kerana berkemungkinan insiden yang berlaku terhadap penduduk yang beragama Buddha itu disebabkan perkara lain dan bukan melibatkan muslim Rohingya. Mungkin ada pihak yang ingin menimbulkan provokasi dalam kalangan mereka yang bertelagah di negeri itu sekali gus ingin menolak usaha membawa pulang pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh pada tahun hadapan.

SERANTAU MUSLIM turut melihat tindakan tentera Myanmar yang cepat menghukum sesuatu kesalahan ini boleh memburukkan lagi keadaan di Rakhine. Kerajaan Myanmar sepatutnya sedar akan tindakan tidak bermoral tentera mereka terlebih dahulu sebelum menunding jari kepada pihak lain. Tindakan komander tentera Myanmar harus terlebih dahulu dihukum kerana membunuh, merogol dan menghapuskan sejumlah besar etnik Rohingya sebelum ini bukannya dibiarkan jenayah itu terkubur begitu sahaja.

SERANTAU MUSLIM berharap insiden ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin tanpa perlu menambahkan persengketaan yang sudah wujud.

SERANTAU MUSLIM sangat mengalu-alukan kuasa besar dunia dapat membantu memberi penyelesaian kepada tentera Myanmar agar tidak terlebih dahulu mengangkat senjata tetapi mengenalpasti bukti yang sahih sebelum bertindak.

‘Persaudaran Rentas Sempadan’

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor,
Pengurus Besar,
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim