2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 18 Julai 2018

 

Kenyataan Media SERANTAU MUSLIM
18 Julai 2018

PELARIAN ROHINGYA HADAPI PENYAKIT BERJANGKIT EKORAN KRISIS BAHARU BENCANA ALAM, SERANTAU MUSLIM SERU TINGKATKAN BANTUAN

Sejak Ramadhan yang lalu, pelarian Rohingya berdepan dengan ujian bencana alam yang tidak dapat dihindar. Kini, mereka masih melalui situasi yang sama dan mungkin akan lebih teruk. Hal ini perlu dipandang serius kerana anak-anak kecil, ibu-ibu yang mengandung dan warga emas terutamanya, bakal terdedah dengan penyakit yang berjangkit kerana sistem pertahanan badan mereka yang agak lemah. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sel dendritik yang berfungsi menangkap dan memperkenalkan antigen kepada sel CD4+ dan sel imposit T bagi merangsang permulaan sistem pertahanan badan dan memusnahkan antigen akan berkurangan apabila usia meningkat. Manakala, ibu-ibu yang mengandung pula terpaksa mendapatkan sumber makanan dan air yang bersih agar terhindar daripada segala jangkitan agar kesihatan anak yang dikandung turut terjaga.

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) merasakan pelarian Rohingya bagai jatuh dihimpit janjang kerana nasib mereka bertali arus tanpa diduga, terpaksa mengahadapi krisis kemanusiaan yang baharu selepas dihalau dari negara sendiri sejak Ogos lalu. Pelarian Rohingya sekitar Cox’ Bazaar juga mungkin tidak dapat meraikan kemeriahan Aidilfitri baru-baru ini seperti mana kita di Malaysia.

Laporan media terkini, 17 Julai telah melaporkan bahawa kira-kira 200,000 pelarian Rohingya yang terdiri daripada kanak-kanak, orang tua dan wanita terpaksa melalui keadaan hidup yang amat sukar kerana penempatan sementara yang dibina berasaskan bahan tidak kukuh seperti plastik dan buluh mungkin tidak dapat diselamatkan daripada musim monsun yang berpanjangan ini. Kem pelarian yang dilaporkan paling berisiko ditenggelami air adalah kem Kutupalong dan Balukhali dan di sana juga berisiko terjadinya tanah runtuh.

Ekoran dugaan yang dihadapi pelarian Rohingya itu, SERANTAU MUSLIM menyeru orang ramai, NGO-NGO, dan kerajaan agar bersama-sama berganding bahu menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk bantuan sama ada kewangan, perkhidmatan, makanan, minuman, perubatan dan sebagainya yang diperlukan oleh pelarian tersebut demi kelangsungan hidup mereka di negara lain.

Walaupun media turut menyatakan bahawa terdapat bantuan untuk memindahkan pelarian tersebut ke tempat yang lebih selamat namun, ia masih tidak berjaya kerana bilangan pelarian yang terlalu ramai menyebabkan mereka terdedah dengan kejadian lemas dan dihanyutkan air.

Justeru itu, SERANTAU MUSLIM berharap orang ramai dapat bekerjasama antara satu sama lain untuk membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana alam di sana dan SERANTAU MUSLIM sentiasa membuka peluang tersebut melalui kempen khas buat etnik Rohingya, iaitu untukmurohingya.com.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM