2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 16 Julai 2018

16 Julai 2018

MENTERI SOKONG USAHA SERANTAU MUSLIM BANTU PALESTIN DAN SYRIA

Oleh: Wartawan SERANTAU MUSLIM

KUALA LUMPUR, 16 Julai 2018 – Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) telah mengadakan Majlis Aidilfitri Permuafakatan Silaturrahim bersama anak-anak Palestin dan Syria serta Majlis Pelancaran Buku dan Tabung khas untuk membantu rakyat Palestin, dan Syria. Majlis tersebut dihadiri tetamu kehormat iaitu Yang Berhormat Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Majlis yang gilang-gemilang itu telah diadakan di Hotel Putra, Kuala Lumpur yang disaksikan seramai 100 orang jemputan yang terdiri daripada anak-anak Palestin, anak-anak Syria, dan wakil-wakil NGO serta kakitangan dari SERANTAU MUSLIM sendiri.

Selain itu, majlis turut dihadiri Encik Mohammed Abudagga (Timbalan Duta Palestin di Malaysia), Dr Ziad Shehada (Pegawai Hubungan Awam dan Komunikasi Palestinian Cultural Organization Malaysia), dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia).

Majlis anjuran SERANTAU MUSLIM itu telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa dan sekali gus telah merasmikan dua agenda majlis iaitu pelancaran buku terbitan SERANTAU MUSLIM serta tabung dana untukmupalestin dan untukmusyria.

Menurut Yang Berhormat Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa, majlis yang dihadiri beliau merupakan program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) yang dipimpin oleh sahabat lama beliau iaitu Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Tambah beliau lagi, “Saya hadir bagi menunjukkan sokongan kepada usaha-usaha NGO ini yang telah melebarkan sayapnya bukan sahaja di Serantau Asia tetapi hingga ke Syria dan Palestin dalam usaha membantu umat Islam yang tertindas sebagaimana yang kita maklum suasana yang sedang berlaku di Palestin dan Syria, dan ini adalah salah satu cara kita sebagai rakyat Malaysia untuk menzahirkan sokongan dengan menghulurkan bantuan dan mengadakan misi kemanusiaan”.

Jelas beliau lagi, usaha-usaha ini perlu diberi dokongan, perlu diberi sokongan kerana ia melambangkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap kerja-kerja kemanusiaan dan bantuan”.

Yang Berhormat Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa turut menyifatkan program yang dianjurkan SERANTAU MUSLIM adalah salah satu usaha untuk menaikkan nama negara Malaysia di mata dunia. “Selain tanggungjawab Kerajaan Malaysia selaku yang formal dan rasmi, NGO juga mempunyai peranannya tersendiri seperti SERANTAU MUSLIM yang berusaha untuk menaikkan nama negara kita di mata dunia dengan melakukan kerja-kerja kebajikan ini”, jelas beliau.

Dalam pada itu, pihak kerajaan juga dilihat menyokong usaha pihak-pihak yang prihatin seperti SERANTAU MUSLIM dan berharap agar NGO SERANTAU MUSLIM dapat meneruskan usaha dan cita-cita murni ini.

Sementara itu, Dr. Raja Ahmad Iskandar bin Raja Yaacob selaku Pengerusi SERANTAU MUSLIM berkata, “SERANTAU MUSLIM telah meluaskan satu lagi jaringan kerjasama antara kerajaan Malaysia bersama-sama membantu rakyat Palestin dan Syria”, jelasnya ketika ditemui dalam program semalam.

Disamping itu, menurut Pengurus Besar SERANTAU MUSLIM, Ustaz Mohd. Hakim bin Mohd. Nor pula, majlis yang diadakan itu secara tidak langsung dapatmengukuhkan ikatan antara kanak-kanak Palestin dan Syria di Malaysia.

Pelancaran tabung dana untukmupalestin dan untukmusyria yang dilancarkan bersama buku berjudul “24 Soalan Yang Anda Tidak Tahu Mengenai Palestin” telah mendapat perhatian ramai dan tabung untukmupalestin dan untukmusyria telah mendapat sumbangan dana terawal dengan jumlah sebanyak RM20,000 hasil daripada sumbangan peribadi.

Majlis yang bermula jam 11 pagi dilihat memberi makna kepada tetamu yang hadir. Program yang usai jam 1 petang itu dilihat sebagai satu kejayaan besar buat SERANTAU MUSLIM kerana ia adalah julung kali diadakan dan ia berjalan lancar seperti yang dirancang.