2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

Kenyataan Media 12 April 2018

 

12 April 2018
Susulan Serangan Senjata Kimia Di Douma: PBB Ajak Dunia Pertahan Syria

SIAPAKAH DALANG SEBENAR SERANGAN SENJATA KIMIA DI DOUMA, SYRIA?

Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM melihat Syria dahulunya merupakan salah sebuah negara Asia Barat yang terkenal dengan pusat peradaban zaman Neolitik dan kaya dengan budaya yang tersediri, namun sejak Mac 2011 semuanya berubah rentetan kekejaman yang berlaku di sana.

Terbaru, laporan media menyatakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa masyarakat dunia agar membantu penduduk Syria dalam krisis yang kini dianggap tanggungjawab bersama demi menegakkan martabat kemanusiaan.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres meluahkan rasa marah terhadap laporan terbaru serangan senjata kimia di Syria dan beliau menggesa akses sepenuhnya kepada penyiasat antabangsa. Perancis juga turut memberi amaran bahawa mereka akan bertindak balas jika terdapat bukti serangan berbahaya dilakukan rejim Syria disokong Russia di Dhouma, Timur Ghouta.

Jika benar gesaan PBB disepakati semua masyarakat antarabangsa, SERANTAU MUSLIM melihat isu ini dapat mengubah serba sedikit keadaan di Syria dan pertikaian berdarah ini dapat dihentikan. Namun, jika itu hanya cakap kosong mereka dan demi meraih pandangan komuniti dunia terhadap mereka, Syria mungkin akan berdepan dengan ujian yang lebih parah lagi. Mungkin serangan demi serangan bakal berlaku. Naudzubillahimindzalik. SERANTAU MUSLIM ingin menegaskan bahawa Syria bukannya ‘guinea pigs’ kepada kuasa besar antara Timur dan Barat dalam merebut status kepala dunia.

Sementara itu juga, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjanjikan tindakan pantas lagi tegas terhadap serangan disyaki menggunakan senjata kimia di Syria, dengan membayangkan potensi satu tindak balas ketenteraan. Presiden Amerika Syarikat juga berkata AS mampu menghentikan dengan kuasa daripada pihaknya.

Melihat kenyataan Trump, SERANTAU MUSLIM melahirkan rasa risau dan bimbang dengan nasib rakyat Syria tidak berdosa yang mungkin akan terkorban jika tindak balas ketenteraan dilancarkan oleh pihak AS.

SERANTAU MUSLIM turut melihat isu ini sangat kompleks untuk diselesaikan kerana melibatkan banyak pihak luar. Konflik-konflik ini mungkin boleh dileraikan jika tiada lagi kuasa besar dunia yang berniat untuk menghancurkan dan menakluki Syria.

SERANTAU MUSLIM berharap tiada lagi kumpulan berkepentingan menggunakan nama Islam untuk memecahbelahkan keadaan sedia ada dan tiada lagi pihak menafikan agenda tersendiri dan saling menuding jari sesama sendiri terhadap isu kekejaman di tanahair penduduk Syria ini.

Rakyat Syria memerlukan kekuatan fizikal dan emosi yang tinggi untuk meneruskan kehidupan di tanah air sendiri. Justeru itu, pihak SERANTAU MUSLIM memohon semua umat Islam di dunia agar mendoakan rakyat Syria diberi kekuatan demi meneruskan kehidupan mereka. SERANTAU MUSLIM juga bersedia membantu penduduk Syria yang memerlukan bantuan keperluan asas.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM